Oleh : Muhammad Khairulanwar Ali Rahman / Foto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam Sukan Pantai Asia Ke-6
SANYA, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 29 April. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Olympic Council of Asia Honorary Executive Board Member dan Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke perlawanan akhir Bola Sepak Pantai Lelaki yang diadakan di Sanya Bay Yuhai Club Venue.
Dalam perlawanan akhir bagi merebut pingat emas menyaksikan kemenangan berpihak kepada Republik Islam Iran selepas mengalahkan Kesultanan Oman dengan jaringan 6 - 2 sekali gus memberikan pingat emas kepada Republik Islam Iran dan pingat perak kepada Kesultanan Oman.
Sementara itu dalam perlawanan lain pula menyaksikan pingat gangsa menjadi milik Arab Saudi selepas mengalahkan Palestin dengan jaringan 6 - 4.
Pada acara tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan mengurniakan pingat kepada para pemenang.